Garis panduan larangan telefon pintar di sekolah akan dikeluar dalam masa terdekat

Garis panduan larangan telefon pintar di sekolah akan dikeluar dalam masa terdekat

nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti garis panduan bersesuaian berhubung cadangan larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar berusia bawah 16 tahun di sekolah.

KPM dalam kenyataan berkata, berkata, garis panduan itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

“KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang menggariskan langkah segera, termasuk larangan berkenaan bagi menangani isu keselamatan termasuk usaha untuk meningkatkan pemantauan pihak polis di institusi pendidikan.

“Mekanisme pelaksanaan dasar itu akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.

Dalam pada itu, KPM menegaskan semua institusi pendidikan di bawah seliaannya perlu memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan sekolah dapat ditingkatkan.

“Kerjasama rentas kementerian dan agensi ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor, berkata kabinet menyarankan larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar berusia 16 tahun ke bawah sebagai antara tiga langkah bagi menangani isu keselamatan di sekolah.

Anwar dipetik berkata, larangan itu adalah bagi membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial serta permainan dalam talian yang sering menjurus kepada tingkah laku negatif, termasuk kes buli dan jenayah di sekolah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top