Cium isteri sebab sayang – Fazziq Muqris

Cium isteri sebab sayang – Fazziq Muqris

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio Era, Fazziq Muqris, 25, enggan mengambil pusing komen-komen negatif yang dilemparkan gara-gara tindakannya mengucup isterinya, Sharifah Areeqa di hadapan orang ramai baru-baru ini.

Menurut Fazziq, perkara itu bukan isu yang perlu diperbesarkan apatah lagi dijadikan bahan untuk pihak tertentu menyerang dengan kata-kata kecaman.

“Saya tak perlu layan reaksi yang negatif. Lebih elok abaikan sahaja komen-komen berunsur kecaman ini.

“Saya cium dia sebab sayang. Bukan saya buat perkara tak senonoh, jilat atau raba dia. Tidak,” katanya ketika ditemui media semasa sidang media filem Kata Hati, petang tadi.

Terdahulu, tindakan Fazziq mengucup Sharifah di tempat terbuka menimbulkan rasa kurang senang segelintir netizen yang menganggap perkara itu sebagai di luar norma budaya ketimuran.

Rakaman itu, yang dimuat naik Sharifah dalam Instagramnya mengundang reaksi pelbagai dalam kalangan warganet.

Fazziq dalam masa sama mempertahankan tindakannya, menganggap kucupan itu sebagai tanda gembira dan cara dia menunjukkan kasih sayang dan penghargaan buat isterinya.

“Pertama sekali, dia isteri dan tulang belakang saya. Saya gembira kerana dia sentiasa memberi sokongan terhadap minat saya.

“Saya amat menyayangi dia. Sentiasa ada untuk sokong saya. Susah untuk dapat pasangan seperti itu,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top