Cklamovski sudah tiba di Malaysia

Cklamovski sudah tiba di Malaysia

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selamat datang ke Malaysia! Itu ucapan buat pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang disahkan tiba di negara ini hari ini.

Perkembangan itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman Facebook badan induk itu.

“Ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Peter Cklamovski selamat tiba di KLIA, Sepang dari Sydney, Australia, petang tadi untuk memulakan tugas membimbing skuad Harimau Malaya,” kata kenyataan itu.

Dengan berita kehadiran jurulatih dari Australia itu maka lengkaplah tiga individu penting yang bakal mencorakkan revolusi pasukan kebangsaan.

Sebelum ini, FAM mengumumkan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya, Rob Friend dan sudah memulakan tugasnya secara rasmi pada minggu lalu.

Seorang lagi iaitu Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan, Dr Craig Duncan turut sudah memulakan tugasnya bersama Friend.

Kehadiran trio berkenaan adalah sebahagian usaha revolusi yang dicetuskan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam membantu melonjakkan prestasi skuad Harimau Malaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top