Riyadh: Coco Gauff menjadi pemain termuda dalam tempoh 20 tahun memenangi gelaran WTA Final dengan kemenangan sengit 3-6, 6-4, 7-6 (7/2) ke atas juara Olimpik, Zheng Qinwen di Riyadh semalam.
Pemain berusia 20 tahun itu bangkit daripada ketinggalan 3-6, 1-3 dan memadam defisit sebanyak dua kali di set penentu untuk mengalahkan Zheng dalam perlawanan yang berlangsung selama tiga jam dan empat minit, final WTA kedua terpanjang pada 2024.
“Ini sangat bermakna bagi saya.
“Ini adalah acara tenis wanita profesional pertama di sini di Arab Saudi dan saya akan sentiasa dikenang dalam sejarah sebagai sebahagian daripadanya.
“Ia adalah gelaran kedua terbesar dalam sukan kami, jadi ia amat bermakna. Dan akan dikenang dalam sejarah selama-lamanya, itu cukup hebat dan semoga akan ada lebih banyak acara dianjurkan di sini,” tambah Coco.
Kejayaan merangkul kejuaraan itu membolehkan Coco membawa pulang ganjaran $4,805,000 (RM21.1 juta) yang juga jumlah hadiah wang terbesar dalam sejarah acara profesional yang diiktiraf.
Coco menyingkirkan dua pemain terbaik dunia, Aryna Sabalenka dan Iga Swiatek, dalam perjalanannya ke final dan mencatatkan kemenangan keempatnya dalam kelompok lapan teratas minggu ini dengan prestasi fizikal yang mengagumkan ke atas Zheng.
Pemain Amerika itu tidak menyedari bahawa dia meraih cek yang menjadi rekod hadiah kemenangan dan ketawa apabila diberitahu berapa banyak yang dia peroleh oleh seorang wartawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




