sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi menerima hadiah istimewa berupa topi keledar perlumbaan Formula 2 daripada pelumba muda senegaranya Franco Colapinto sebagai tanda penghargaan dan sokongan pada kempen Piala Dunia Kelab bersama Inter Miami.
Momen itu tular di media sosial selepas Colapinto memuat naik foto Messi sedang tersenyum sambil memegang topi keledar yang pernah digunakan dalam aksi Formula 2 musim lalu, lengkap dengan nota tulisan tangan.
“Terima kasih atas segala kegembiraan dan pengajaran. Semoga berjaya !,” katanya.
Hadiah itu dilihat sebagai simbol sokongan dan penghormatan kepada ikon bola sepak dunia itu, sekali gus memperlihatkan hubungan akrab antara dua atlet utama Argentina yang mewakili negara itu dalam bidang berbeza.
Colapinto yang kini bersama pasukan Alpine dalam saingan Formula Satu (F1), sebelum ini turut menerima hadiah peribadi daripada Messi iatu sehelai jersi latihan pasukan kebangsaan Argentina lengkap dengan tandatangan.
Jersi itu dianggap membawa tuah selepas Colapinto meraih kemenangan sulung dalam Formula 2 awal tahun ini.
“Saya tak percaya jersi ini ada tandatangan pemain terbaik dunia! Saya akan bingkaikan. Terima kasih, Leo,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial.
Sementara itu, kedua-dua bintang sukan negara itu berdepan aksi kurang menjadi minggu lalu.
Messi gagal menjaringkan gol ketika Inter Miami hanya seri menentang Al Ahly dalam aksi pembukaan Piala Dunia Kelab, manakala Colapinto menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 di Grand Prix (GP) Kanada, Ahad lalu.
Namun begitu, hadiah penuh simbolik daripada Colapinto itu kekal menjadi detik manis yang menyerlahkan semangat setiakawan dan rasa bangga terhadap figura sukan paling berpengaruh Argentina itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

