PETALING JAYA: Kerajaan hari ini memutuskan untuk menambah baik subsidi bil elektrik untuk rakyat dengan memperluaskan tahap perlindungan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu membabitkan pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
Katanya, langkah itu diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini.
“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa.
“Justeru itu, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan sekalung penghargaan khususnya kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah ini diambil dalam kadar segera.
Semalam, Anwar memaklumkan kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti langkah segera mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat hari ini.
Katanya, keadaan jerebu serta cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik sebahagian isi rumah sehingga melepasi paras 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan dan tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).-UTUSAN
