hartini@hmetro.com.my
HAMSTER antara haiwan peliharaan comel yang tidak kurang popular selain kucing.
Bersaiz kecil dengan karakter mencuit hati dan tidak sukar dijaga membuatkannya sering menjadi pilihan peminat haiwan peliharaan.
Dikatakan ada kira-kira lebih dari 24 spesies hamster di seluruh dunia.
Berikut disenaraikan spesies haiwan itu yang popular di negara ini:
Syrian hamster
Syrian hamster adalah hamster paling besar dalam kalangan jenis hamster yang lain.
Ia boleh membesar sehingga tujuh inci panjang. Spesies ini mempunyai pelbagai warna dan jenis bulu.
Malah ada juga dari spesies ini yang dikenali sebagai ‘Long hair Syrian.’ Ini kerana bulunya begitu panjang dan lebat berbanding spesies lain. Rata-rata spesies ini dikatakan hanya mampu hidup kira-kira dua hingga tiga tahun setengah.
Winter white hamster
Winter white hamster turut dikenali sebagai Siberia dan ia sangat kecil berbanding Syrian hamster.
Malah ia juga boleh membesar hanya empat inci panjang. Spesies ini mempunyai jalur garisan gelap di belakang dan warna kelabu coklat selain mempunyai pelbagai jenis warna bulu.
Jangka hayatnya adalah lebih singkat berbanding Syrian hamster iaitu sekitar satu hingga dua tahun sahaja.
Roborovski hamster
Spesies ini juga mempunyai saiz kecil lebih kurang sama seperti saiz Winter white hamster.
Ia boleh membesar sehingga empat inci panjang sahaja. Hamster jenis ini biasanya berwarna coklat dan corak berbulu.
Tidak dinafikan spesies ini sangat aktif dan bergerak laju berbanding spesies lain.
Campbell hamster
Spesies ini turut dikenali sebagai Dwarf hamster sama seperti Winter white hamster.
Malah hamster jenis ini juga mempunyai panjang antara tiga hingga lima inci sahaja dan biasanya berwarna kelabu dengan bahagian perut berwarna putih.
Dikatakan juga, spesies ini mempunyai jangka hayat antara satu setengah hingga dua tahun.
Chinese hamster
Spesies ini mempunyai panjang antara empat hingga lima inci.
Mempunyai warna kelabu gelap dengan jalur gelap di bahagian belakang dan ekor lebih panjang daripada hamster lain.
Jangka hayatnya antara dua tahun setengah hingga tiga tahun dan lebih gemar hidup bersendirian daripada berpasangan.
Ia juga kurang mendapat perhatian sukar dijumpai di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd