COMWEL usul 67 kerusi calon wanita – Utusan Digital

KLANG: Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) mengesyorkan supaya 67 kerusi bagi calon wanita ditetapkan untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengasasnya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan mengemukakan syor itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini, kerusi bagi wanita adalah lebih 30 kerusi dan inisiatif COMWEL mahu mencadangkan kepada SPR supaya mempertimbangkan untuk menetapkan 30 peratus kerusi wanita dalam PRU nanti.

“Ini bukannya sukar untuk dilakukan iaitu hanya sebanyak 67 kerusi dan lebih ramai kaum wanita harus diletakkan dalam Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian COMWEL di sini hari ini.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan turut dihadiri Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Dalam majlis itu juga, Azhar turut merasmikan pelancaran buku hasil penulisan pertama Zuraida, ‘Wanita Berdaya, Harapan Negara’.

Dalam pada itu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan, penubuhan COMWEL adalah untuk menghimpunkan kepimpinan wanita tempatan dalam memperjuangkan agenda pemberdayaan dan pengarusperdanaan gender secara bersistematik serta holistik.

“COMWEL merupakan satu pertubuhan yang bergerak melangkaui batasan politik dan dianggotai pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang politik, agama dan bangsa.

“Keanggotaannya terbuka kepada semua wanita termasuk pemimpin daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perkhidmatan awam dan sektor swasta,” katanya.

Sementara itu Azhar berkata, cadangan menambah kerusi bagi calon wanita bukan mudah dilaksanakan biarpun jumlah perwakilan wanita di Parlimen hanya 14 peratus ketika ini.

“Namun masih ada langkah tambahan boleh dibuat sekiranya kerajaan bersetuju untuk memberi insentif kepada parti politik yang mencalonkan lebih ramai wanita.

“Sebagai contoh, ini melibatkan insentif kewangan untuk pembangunan wanita dalam parti politik berkenaan,” katanya.