Conte minta maaf Napoli kalah

Conte minta maaf Napoli kalah

Milan, Itali: Antonio Conte meminta maaf kepada penyokong Napoli selepas memulakan saingan Serie A dengan kekalahan 0-3 di Verona, awal pagi tadi.

Pemain baharu Verona Dailon Livramento membuka tirai jarigan manakala Daniel Mosquera menambah dua gol selepas rehat di Stadium Marcantonio sekali gus meranapkan impian tiga mata pertama Conte dalam saingan Serie A selaku pengurus baharu Napoli.

“Kami perlu meminta maaf kepada penyokong kerana pada separuh masa kedua sukar untuk saya menilai apa yang berlaku,” kata Conte kepada DAZN.

“Pada babak pertama hanya ada satu pasukan di atas padang dan ia adalah Napoli. Kemudiannya selepas rehat mungkin kami terlalu berpuas hati dengan prestasi sebelum itu walaupun tanpa jaringan. Tetapi ia bukan sikap yang sama seperti di babak pertama.”

Conte mengkritik pasukannya yang hanya menewaskan kelab Serie B Modena menerusi penalti pada Piala Itali hujung minggu lalu dan menganggap anak buahnya seperti ‘cair dalam salji’ selepas Livramento meletakkan Verona di depan empat minit selepas rehat.

“Ia benar-benar membimbangkan. Pasukan yang baik tampil dengan reaksi pantas dalam situasi sukar tetapi kami berbeza sama sekali,” tambah Conte.

“Saya jurulatih dan ia tanggungjawab saya, jadi saya minta maaf, Ia kesalahan saya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd