Pelakon Imran Aqil menerima pujian selepas tampil dengan kandungan video terbaharunya sempena Ramadan yang dipanggil 30 Hari 30 Sunah.
Kata Imran, walaupun dia bukanlah seorang ustaz, namun dia telah melakukan beberapa penyelidikan terhadap perkongsian sunah yang akan disampaikan kepada umum sepanjang sambutan Ramadan pada kali ini.
“Assalamualaikum, untuk kali ni saya nak sesuatu yang berbeza. Kita nak buat satu content di mana kita berpuasa selama 30 hari dan 30 sunah saya akan cerita kan kepada anda semua.
“Disclaimer, saya bukanlah seorang ustaz, tapi saya adalah belajar sikit-sikit dan buat research.
“Kalau ada salah dan silap mohon tunjukkan dan tolong betulkan okay. Kerana ini sesuai dengan salah satu hadis riwayat Al-Bukhari iaitu ‘Sampaikanlah kepada ku walaupun satu ayat’,” katanya.
Meskipun sudah masuk hari keempat umat Islam berpuasa, sambutan untuk 30 Hari 30 Sunah ini juga dilihat sangat memberangsangkan apatah lagi banyak ilmu baharu yang boleh diperolehi.
Ini termasuklah, sunah melewatkan sahur, makan menggunakan tiga jari dan tidak meniup makanan dan minuman.




