LONDON: Manchester City dilaporkan menolak tawaran pembukaan bernilai 38.5 juta pound (kira-kira RM211.69 juta) daripada Barcelona bagi mendapatkan tonggak tengah, Rodri.
Pemain berusia 30 tahun itu kini hanya berbaki semusim dalam kontraknya di Stadium Etihad, sekali gus mencetuskan spekulasi berkemungkinan kembali beraksi di negara kelahirannya, Sepanyol.
Bagaimanapun, City dikatakan meletakkan tanda harga sekitar 68 juta pound (RM373.89 juta) untuk melepaskan pemain yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia 2026 itu.
Sebelum ini, Real Madrid dilihat berada di landasan terbaik untuk mendapatkan khidmat Rodri, namun Barcelona kini dilaporkan muncul sebagai pencabar utama dalam usaha membawa pulang pemain berkenaan ke La Liga.
Rodri menyertai City dari Atletico Madrid pada 2019 dan muncul antara pemain paling berpengaruh dalam era kegemilangan kelab itu.
Sepanjang bersama City, dia membantu kelab menjulang beberapa kejuaraan Liga Perdana Inggeris selain memainkan peranan penting ketika memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama pada 2023 di bawah kendalian Pep Guardiola.
Di pentas antarabangsa, Rodri turut mencipta kejayaan bersama Sepanyol apabila muncul juara Euro 2024 sebelum memenangi anugerah Ballon d’Or pada tahun sama.
Barcelona dilaporkan akan mengemukakan tawaran bernilai sekitar 50 juta euro (RM250 juta), termasuk bayaran tetap serta beberapa bonus, namun wakil kelab enggan mengesahkan jumlah sebenar.
Barcelona dijangka meneruskan rundingan dalam tempoh beberapa hari lagi dengan harapan perpindahan itu dapat dimuktamadkan secepat mungkin.
Beberapa pemain Barcelona yang membantu Sepanyol menjulang Piala Dunia, termasuk Pedri dan Lamine Yamal, dijadual melapor diri untuk Latihan esok selepas diberi cuti susulan kejohanan berkenaan.
Rodri pula sedang bercuti bersama keluarganya di Ibiza sementara menunggu masa depannya diputuskan.
Walaupun Real masih belum menarik diri sepenuhnya daripada perebutan pemain itu, sumber memaklumkan keutamaan Rodri adalah untuk meneruskan karier bersama Barcelona.-AGENSI




