Petaling Jaya: Corak salutan minyak pada permukaan lorong boling (oil pattern) dijangka menjadi cabaran buat pemain negara, Muhammad Rafiq Ismail dalam misi meneruskan rentak cemerlang pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Hong Kong Ke-49 yang berlangsung bermula esok hingga 8 Ogos ini.
Bekas juara dunia itu berkata walaupun hadir dengan keyakinan tinggi selepas merangkul tiga kejuaraan berturut-turut pada Terbuka Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau perlu segera menyesuaikan diri dengan corak minyak di Pusat Boling SCAA yang disifatkannya agak mencabar.
“Setiap kejohanan berbeza corak minyak. Jadi dekat situ yang saya kena main bijak dan kena tahu apa yang saya punya kelemahan untuk corak tersebut.
“Macam untuk Terbuka Hong Kong, corak minyak lorong agak susah. Itu yang saya sedang berlatih sebelum kejohanan ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini hari ini.
Corak minyak merujuk kepada corak sapuan minyak pada permukaan lorong boling sebelum pertandingan. Jumlah, panjang dan taburan minyak yang digunakan akan mempengaruhi pergerakan bola, sekali gus menuntut pemain menyesuaikan strategi serta teknik balingan.
Pemain berusia 29 tahun itu bagaimanapun enggan meletakkan sasaran khusus di Hong Kong, sebaliknya mahu mengekalkan momentum daripada tiga gelaran berturut-turut sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan utama hujung tahun ini, iaitu Piala Dunia 2026 dan Kejohanan Asia Ke-28.
Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung di Munich, Jerman dari 12 hingga 21 Okt, manakala Kejohanan Asia akan diadakan di Doha, Qatar dari 12 hingga 22 Nov.
© New Straits Times Press (M) Bhd




