KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai pengganti Grand Prix (GP) Bahrain pada Oktober ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KBS sudah menerima makluman awal mengenai kemungkinan penganjuran semula F1 di Malaysia selepas kali terakhir perlumbaan itu berlangsung di Sepang pada 2017.
“KBS kekal komited dengan misi untuk terus menyokong pembangunan sukan negara termasuklah sukan permotoran.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan setelah ia dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Portal sukan permotoran The Race pada Khamis melaporkan Malaysia berpeluang kembali tersenarai dalam kalendar F1 tahun ini sekiranya konflik melibatkan Iran terus menjejaskan jadual perlumbaan.
Pada pertengahan Mac lalu, perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi yang dijadual berlangsung pada April ditangguhkan susulan peperangan, sekali gus mengurangkan kalendar musim ini daripada 24 kepada 22 perlumbaan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menurut laporan itu, sekiranya dua perlumbaan terakhir musim ini di Qatar pada 29 November dan Abu Dhabi pada 6 Disember tidak dapat diteruskan akibat konflik di Asia Barat, pengurusan F1 sedang meneliti beberapa pilihan sebagai venue pengganti.
Sebelum konflik Iran kembali memuncak, pihak penganjur berharap GP Bahrain dapat dijadualkan semula pada hujung minggu pertama Oktober, di antara perlumbaan di Azerbaijan dan Singapura.
Bagaimanapun, kemungkinan itu kini dilihat semakin tipis susulan ketegangan yang kembali memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran.
Justeru, Malaysia dan Turkiye kini disenaraikan antara calon untuk menganjurkan perlumbaan pada 4 Oktober, menurut laporan berkenaan.
F1 dijangka membuat keputusan awal mengenai cadangan itu ketika kejuaraan memasuki cuti pertengahan musim selepas GP Hungary di Budapest hujung minggu ini, sebelum saingan bersambung semula pada penghujung Ogos.
SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.



