Covid-19: 1,199 kes baharu, 2 kematian

KUALA LUMPUR – Perkembangan harian kes penularan Covid-19 masih  sekitar angka 1,000 kes apabila hari ini sebanyak 1,199 kes baharu dilaporkan.

Ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kumulatif kes Covid-19 sebanyak 340,642 manakala sebanyak 1,257 pula sembuh dan ia melebihi kes baharu harian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes positif baharu hari ini, sebanyak lima kes adalah import membabitkan dua warga tempatan dan tiga warga asing.

Katanya, sebanyak 1,194 melibatkan 959 kes atau 80.3 peratus adalah rakyat tempatan manakala selebihnya 235 kes adalah warga asing iaitu 19.7 peratus daripada jumlah kes hari ini.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 283 kes atau 23.6 peratus. Daripada jumlah ini, sebanyak 203 kes atau 71.7 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 267 kes (22.3 peratus) dan Kelantan sebanyak 138 kes (11.5 peratus),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, sebanyak 14,209 kes masih aktif dan 167 kes memerlukan rawatan Unit Rawatan Rapi manakala 72 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak lapan kes atau 0.7 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Muhasabah (dua kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (dua kes), Kluster Tembok Sungai Udang (dua kes), Kluster Tembok Bukit Besi dan Kluster Telok Mas masing-masing satu kes.

“Hari ini KKM melaporkan sebanyak dua kes kematian baharu sekaligus menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes kematian di dalam negara setakat ini adalah sebanyak 1,251 kes kematian.

“Kedua-dua kes mati itu masing-masing adalah warga tempatan jenazahnya dibawa ke Hospital Tawau, Sabah melibatkan seorang lelaki berusia 60 tahun dan lelaki warga asing berusia 52 tahun yang mana jenazah dibawa ke Hospital Besar Pulang Pinang,” tegasnya.-MalaysiaGazette