BEIJING: China semalam merekodkan sebanyak 76 kes harian baharu COVID-19, menjadikan ia angka tertinggi sejak hujung Januari lalu.
Angka tertinggi itu ekoran peningkatan mendadak kes penularan tempatan di timur bandar Nanjing, tatkala China sedang melakukan pusingan kedua ujian saringan besar-besaran bagi mengekang wabak itu.
China mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap kes COVID-19 dengan melaksanakan langkah mengesan dan menguji secara meluas penduduk negara itu dalam usaha membendung penularan virus berkenaan.
Suruhanjaya Kesihatan Nasional dalam satu kenyataan hari ini berkata, jangkitan tempatan menyumbang sejumlah 40 kes harian baharu semalam, berbanding hanya lima pada hari sebelumnya.
Sejumlah 39 kes tempatan dilaporkan dikesan di wilayah timur Jiangsu, iaitu ibu kota Nanjing dan satu di wilayah timur Liaoning, kata suruhanjaya itu.
Angka kes tidak bergejala – yang mana China mengklasifikasikannya sebagai kes tidak sah – meningkat dari 17 kepada 24 kes pada hari sebelumnya.
Dalam kalangan kes tanpa gejala, empat daripadanya adalah jangkitan tempatan, yang mana masing-masing satu kes di Jiangsu, Guangdong, Anhui dan wilayah Sichuan.
Banyak kes positif yang dikesan menerusi ujian saringan pusingan pertama di Nanjing yang dilancarkan minggu lalu adalah di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Lukou.
Nanjing sudah menjalankan pusingan kedua saringan asid nukleik terhadap 9.3 juta penduduk semalam, menurut laporan China Daily hari ini.
Ia telah menaikkan tahap risiko COVID-19 kepada tinggi di satu kawasan bandar itu, sambil menukarkan tahap risiko di kawasan lain kepada sederhana, menurut laporan sama.
Langkah itu diambil selepas pihak berkuasa menghentikan operasi laluan kereta api bawah tanah dan mengambil langkah lain untuk mengawal kemunculan kluster baharu.
Jumlah kumulatif kes COVID-19 di China adalah sebanyak 92,605 dan kematian kekal pada 4,636 orang. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd
