COVID-19: Filipina larang kemasukan warga asing

COVID-19: Filipina larang kemasukan warga asing

MOSCOW: Pihak berkuasa Filipina melarang rakyatnya yang tinggal di luar negara dan warga asing memasuki negara ini selama sebulan untuk mencegah penularan COVID-19 dan variannya, lapor Sputnik.

“Sebagai usaha untuk mencegah kemasukan varian COVID-19 dari negara lain dan meningkatnya kes, semua agensi yang berkaitan diarah mengehadkan jumlah penumpang/kemasukan antarabangsa hanya kepada… 1,500 sehari dan menangguhkan sementara kemasukan rakyat Filipina yang kembali dari luar negara dan warga asing,” kata pasukan petugas COVID-19 di Twitter.

Larangan itu berkuat kuasa 20 Mac hingga 19 April, tetapi tidak membabitkan pegawai asing yang diakreditasi, perkara berkaitan perubatan dan kemanusiaan.

Awal Mac, kerajaan Filipina mengumumkan penemuan strain baharu COVID-19 disebut P.3, dan 98 kes telah didaftarkan setakat ini.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memerlukan lebih banyak maklumat mengenai varian terbabit untuk menilai risiko penularan dan kematian.

Terkini, Filipina mencatatkan lebih 630,000 kes COVID-19 dan hampir 13,000 kematian. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top