JAKARTA: Indonesia melarang perjalanan domestik ketika sambutan Aidilfitri bulan depan sebagai langkah mencegah penularan besar-besaran wabak COVID-19.
Negara berpenduduk Islam paling ramai di dunia itu kini bersiap untuk ibadah puasa pada bulan Ramadan dan pada masa sama, turut memerangi jangkitan COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Adita Irawati, berkata larangan perjalanan termasuk menggunakan jalan laut, darat, udara dan kereta api dikuatkuasa pada musim cuti iaitu bermula 6 hingga 17 Mei.
“Ini kerana sepanjang tempoh itu, rakyat Indonesia akan ‘mudik’ atau balik kampung, yang sudah menjadi tradisi.
“Bagaimanapun, larangan perjalanan dikecualikan bagi pelancong diplomatik iaitu pekerja yang mendapat kelulusan majikan dan untuk melawat ahli keluarga yang sakit atau jika berlaku kematian.
“Berdasarkan kaji selidik Kementerian Pengangkutan membabitkan sekitar 27 juta responden, mereka memberi maklum balas akan tetap ‘mudik’ meskipun terdapat larangan,” katanya ketika mengumumkan larangan perjalanan itu semalam.
Pihak berkuasa berkata, percutian adalah punca utama menyumbang kepada peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 dan keselamatan sempadan akan ditingkatkan.
Indonesia setakat semalam mencatatkan lebih 1.5 juta kes jangkitan termasuk lebih 42,000 kematian.
Pada peringkat global, pandemik yang mula dikesan pada akhir 2019 itu sudah menjangkiti 134.5 juta mangsa dan mengorbankan lebih 2.9 juta orang di 219 negara. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




