COVID-19: Nepal dalam bahaya

COVID-19: Nepal dalam bahaya

KATHMANDU: Nepal merekodkan satu lagi kes tertinggi COVID-19 dengan 9,070 kes pada Khamis, sekali gus menimbulkan kebimbangan negara itu mungkin akan mengikuti jejak langkah India yang sedang mengalami tsunami jangkitan dan kematian.

Nepal juga merekodkan lonjakan 54 kes kematian baharu pada Khamis, hari ketiga berturut-turut negara itu mencatatkan lebih daripada 50 kematian.

Lonjakan kes COVID-19 bermula sejak 18 April lalu ketika 1,015 kes dicatatkan, dan ia mulai mencapai tahap tertinggi sehingga mengakibatkan sistem penjagaan kesihatan dan katil rawatan intensif dibanjiri pesakit.

Lebih buruk lagi, pakar kesihatan Nepal berkata, kes yang dilaporkan tidak mewakili tragedi sebenar kerana jejak kontak rapat hampir dihentikan sejak beberapa bulan terakhir.

“Data yang dikeluarkan oleh kerajaan Nepal hanya untuk mereka yang diuji selepas mengalami gejala penyakit.

“Jika anda melakukan ujian terhadap semua orang dalam sebuah komuniti, anda boleh menemui jangkitan beberapa kali lebih tinggi daripada kes yang dilaporkan sekarang,” kata Penolong Profesor di Institut Perubatan Universiti Tribhuvan, Dr Binjwala Shrestha kepada Xinhua.

Nepal melaporkan kira-kira 20 kes COVID-19 harian bagi setiap 100,000 orang, iaitu jumlah yang sama yang dilaporkan India dua minggu lalu yang dilaporkan CNN pada hari Khamis.

Kedua-dua negara itu berkongsi sempadan yang panjang dan berliku.

Doktor berkata, krisis berkenaan tidak lama lagi akan menjadi tidak terkawal sekiranya pihak berkuasa gagal mengambil langkah segera kerana banyak pekerja kesihatan sudah dijangkiti virus. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top