SEREMBAN: Kumpulan pertama 181 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selamat bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing di Kelantan dan Terengganu.
Kesemua mereka dihantar pulang menggunakan tujuh bas universiti melalui inisiatif Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi bermula 7 Mei hingga 12 Mei ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailani berkata, pergerakan mereka yang diuruskan pihak universiti akan berjalan selama empat hari mulai hari ini sehingga Selasa depan ke 12 negeri.
“Kumpulan ini akan bertolak dari Dewan Tuanku Canselor mengikut jadual masa dan hari bertolak yang telah siap disusun oleh jawatankuasa khas bagi memastikan kelancaran operasi ini. Pada pagi ini kita menghantar kumpulan pertama pulang ke Kelantan dan Terengganu. Alhamdulillah proses ini berjalan lancar.
“Pergerakan terakhir adalah pada Selasa depan iaitu ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Kenderaan yang membawa penuntut ini akan berhenti di stesen-stesen bas utama yang kita kenal pasti sebelum dijemput oleh ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Mohd. Rushdan, kumpulan penuntut yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti hanya dibenarkan pulang dengan kenderaan sendiri dan dijemput oleh ibu bapa atau penjaga.
“Pergerakan menggunakan kenderaan awam adalah tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.
“Mereka ini kita wajibkan mendaftarkan maklumat secara dalam talian di capaian khas yang kita sediakan dan turut diberikan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada USIM sebagai rujukan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang ini dengan 538 orang daripadanya memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti.
“Bahagian Hal Ehwal Pelajar menyediakan 18 buah kenderaan universiti iaitu bas dan kenderaan pelbagai guna untuk menghantar kumpulan ini secara berfasa ke zon-zon yang telah dikenal pasti,” katanya.
Jelas beliau, seramai 66 orang penuntut memilih untuk terus tinggal di kampus semasa cuti Aidilfitri dan pihak universiti melalui Pusat Perumahan Pelajar dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan memastikan kebajikan dan keselamatan sentiasa diberi perhatian.




