fidahruzki@bh.com.my
PUTRAJAYA: Pematuhan 100 peratus terhadap prosedur operasi standard (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang perayaan Aidilfitri adalah sangat penting untuk memastikan penularan COVID-19 dalam komuniti tidak terus meningkat terutama apabila ada banyak varian membimbangkan (VOC) dilaporkan ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti di negara ketika ini semakin meruncing.
Peningkatan kluster terutama berkaitan rentas negeri, kenaikan hingga 70 peratus kes jangkitan sporadik dalam komuniti dan kenaikan hingga 80 peratus kes tidak bergelaja semakin membimbangkan. Justeru, masyarakat perlu mengambil iktibar dan berusaha untuk mengelak daripada dijangkiti virus COVID-19.
Dr Noor Hisham berkata, sempena perayaan Aidilfitri hari ini, KKM ingin mengingatkan rakyat supaya sentiasa patuh pada SOP hari raya seperti yang dikeluarkan oleh MKN.
“Rakyat dinasihatkan untuk mengelak menghadiri sebarang perhimpunan besar-besaran termasuk solat hari raya beramai-ramai melebihi had dibenarkan dan menangguhkan aktiviti ziarah termasuk menziarahi kubur.
“Ingin diingatkan bahawa, pada tahun ini sahaja, terdapat peningkatan kluster yang begitu ketara. Jumlah kluster komuniti adalah sebanyak 435, yang mana 129 masih lagi aktif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kluster komuniti berpunca daripada jangkitan kontak keluarga dan kontak rapat, aktiviti keraian, pengebumian, perkahwinan, perayaan dan lain-lain aktiviti sosial.
Majoriti mereka yang dijangkiti tidak bergejala (78.4 peratus) lantas menjadikan risiko jangkitan serta penularan amat tinggi jika aktiviti kunjung mengunjung pada hari raya tetap dilaksanakan.
Berikutan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai untuk mematuhi larangan rentas sempadan negeri dan daerah (berdasarkan sempadan daerah ditetapkan Kerajaan Negeri).
Orang ramai juga perlu akur SOP yang membenarkan solat Sunat Aidilfitri di masjid dan surau dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah; dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri serta tidak menganjurkan majlis sosial seperti ziarah dan sambutan Aidilfitri.
“KKM berharap masyarakat memahami situasi ini dan akur kepada nasihat yang dikeluarkan bagi kebaikan kita bersama. Jangkitan COVID-19 tidak mengenal mangsa, tempat, waktu, dan ketika. Sesiapa sahaja boleh dijangkiti sekiranya alpa dan mengambil sikap tidak endah.
“Marilah kita bersama-sama membantu diri kita, keluarga kita, kaum, dan masyarakat kita agar dihindari bahaya COVID-19,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




