ARLINGTON: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mengesahkan kempen Piala Dunia 2026 merupakan penampilan terakhirnya di pentas paling berprestij bola sepak dunia.
Pengumuman itu dibuat menjelang aksi pusingan 16 terbaik menentang Sepanyol esok, sekali gus memberi kemungkinan perlawanan tersebut menjadi aksi terakhirnya di kejohanan berkenaan sekiranya Portugal gagal mara ke suku akhir.
Sebelum ini, Ronaldo enggan mengulas mengenai masa depannya di pentas Piala Dunia, namun akhirnya mengesahkan bahawa edisi kali ini di Amerika Syarikat adalah penampilan terakhirnya.
“Ini akan menjadi Piala Dunia terakhir saya, tetapi saya berharap perlawanan esok bukanlah yang terakhir,” katanya.
Pemenang lima anugerah Ballon d’Or itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang penyesalan sekiranya menamatkan karier antarabangsa tanpa menjulang trofi Piala Dunia.
“Apa sahaja yang berlaku, saya akan meninggalkan pentas ini dengan hati yang tenang kerana saya telah memberikan segala-galanya kepada bola sepak.
“Saya bermain kerana minat dan cinta terhadap sukan ini. Setiap hari perlu dinikmati sepenuhnya,” katanya.
Setakat kempen kali ini, Ronaldo telah meledak tiga gol termasuk dua jaringan ketika Portugal menewaskan Uzbekistan, sekali gus membuktikan dirinya masih mampu memberi impak walaupun sebelum ini dikritik susulan permulaan yang kurang meyakinkan.
Mengulas mengenai pengalaman di Piala Dunia 2026, Ronaldo mengakui kejohanan kali ini paling bermakna sepanjang kariernya.
“Ini adalah Piala Dunia yang akan paling saya kenang. Sokongan dan semangat penyokong kali ini sangat luar biasa. Dari sudut emosi, inilah pengalaman terbaik yang pernah saya lalui,” katanya.
Mengulas kritikan yang diterimanya sepanjang karier, pemain berusia 41 tahun itu berkata, perkara tersebut tidak lagi memberi kesan kepadanya.
“Mereka sudah mengkritik saya selama 23 tahun. Itu sebahagian daripada kehidupan sebagai pemain bola sepak.
“Rakyat Portugal sentiasa memberikan sokongan kepada saya dan pasukan. Selebihnya tidak penting. Saya bersyukur atas segala yang saya miliki dan setiap kritikan yang diterima menjadikan saya lebih matang serta lebih kuat,” katanya.
Ronaldo turut berharap Portugal mampu meneruskan kemaraan dalam kejohanan itu agar perjalanan karier Piala Dunianya tidak berakhir seawal pusingan 16 terbaik. – AGENSI




