Croatia, Brazil sepatutnya bertemu di final: Dalic

Croatia, Brazil sepatutnya bertemu di final: Dalic

Dalic mahu pemain Croatia tenang dan menikmati aksi suku akhir saingan Piala Dunia Qatar menentang Brazil pada Jumaat. – Foto EPA

CROATIA mahu menikmati sepenuhnya aksi suku akhir menentang Brazil dalam misi memahat kemenangan pertama ke atas negara itu dalam saingan Piala Dunia Qatar 2022 pada Jumaat.

Jurulatihnya, Zlatko Dalic juga menyifatkan pertemuan menentang juara lima kali itu seharusnya menjadi aksi final, tetapi menerimanya sebagai lumrah bola sepak.

“Croatia adalah sebuah negara kecil dan menikmati kejayaan dalam dua Piala Dunia. Kami berjaya mencapai tahap ini, tetapi kami bercita-cita tinggi dan tidak mahu kekal di sini,” katanya.

Dalic membandingkan perlawanan itu dengan aksi final menentang Perancis empat tahun lalu yang menyaksikan mereka tewas 2-4.

Beliau berkata, kegagalan untuk menang ke atas Brazil dalam empat aksi sebelum ini tidak memberi sebarang kesan kepada mereka.

“Saya percaya pertembungan ini akan menjadi perlawanan yang paling mencabar.

“Saya boleh membandingkannya dengan perlawanan akhir menentang Perancis dalam Piala Dunia sebelum ini.

“Lawan yang hebat dan cabaran yang hebat. Kami sudah mengharungi 11 aksi dalam dua edisi Piala Dunia dan hanya tewas sekali. Saya mengharapkan perlawanan ini berlangsung kemudian (di final), tetapi ini adalah lumrah kehidupan,” katanya.

Menurut Dalic, Brazil adalah antara pasukan paling mengujakan di Qatar, manakala Croatia dengan 18 pemain baharu dalam skuad itu sejak 2018, masih belum membuktikan kemampuan sebenar.

Cuma segelintir pemain veteran daripada kempen mereka disenaraikan kali ini yang diketuai kapten berusia 37 tahun, Luka Modric.

“Terdapat 18 pemain baharu yang tidak berada di Piala Dunia (2018). Kami memerlukan masa untuk berkembang dan matang. Kejayaan menjadi antara lapan pasukan terbaik adalah luar biasa.

“Mereka masih perlu membuktikan kemampuan sebenar di Piala Dunia dan esok (Jumaat) adalah peluang yang baik untuk berbuat demikian.

“Kami mahu melakukan lebih banyak lagi dan jika berjaya melakukannya, ia adalah sesuatu menakjubkan,” ujar Dalic.