Atlanta: Croatia dan Ghana bakal menentukan nasib sendiri dalam aksi terakhir Kumpulan L Piala Dunia awal pagi Ahad ini apabila keputusan seri berpotensi mengesahkan kemaraan kedua-dua pasukan ke pusingan 32 terbaik.
Ghana kini menghuni tangga kedua kumpulan dengan empat mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan pendahulu, England, manakala Croatia berada di kedudukan ketiga dengan tiga mata.
Croatia tidak mungkin tercicir ke tangga tercorot selepas menewaskan Panama yang masih gagal mengutip sebarang mata, namun mereka sedar tiga mata mungkin masih belum mencukupi untuk menjamin tempat dalam kelompok lapan pasukan terbaik di tangga ketiga jika tewas kepada Ghana.
Justeru, skuad kendalian Zlatko Dalic itu dijangka tidak akan mengambil sebarang risiko dalam perlawanan penting berkenaan.
Kedua-dua pasukan berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Panama, namun Ghana berada dalam kedudukan lebih baik selepas mengikat England tanpa jaringan, manakala Croatia memulakan kempen dengan kekalahan 2-4 kepada England.
Croatia yang muncul tempat ketiga pada Piala Dunia 2022 kini dilihat bergelut dengan faktor usia apabila sebahagian besar tonggak utama mereka semakin berusia.
Malah, Dalic menyifatkan kekalahan kepada England sebagai persembahan paling buruk sepanjang sembilan tahun beliau membimbing pasukan itu.
Pengendali berusia 59 tahun itu juga tidak berpuas hati dengan aksi pasukannya ketika menewaskan Panama walaupun berjaya mengutip tiga mata penuh.
Cabaran Croatia kali ini dijangka lebih sukar apabila berdepan Ghana yang mempamerkan disiplin bertahan tinggi dan berjaya menyekat England daripada menjaringkan gol.
Pasukan Afrika itu sebenarnya hadir ke Piala Dunia dalam keadaan tidak menentu selepas tewas empat perlawanan berturut-turut sebaik melayakkan diri ke kejohanan berkenaan sehingga menyebabkan bekas jurulatih, Otto Addo dipecat.
Namun kehadiran jurulatih berpengalaman, Carlos Queiroz berjaya mengubah wajah Ghana walaupun beliau hanya sempat mengendalikan satu perlawanan persahabatan sebelum kejohanan bermula.
Dalam penampilan kelima berturut-turutnya di pentas Piala Dunia, pengendali berusia 73 tahun dari Portugal itu kembali menerapkan kekuatan utama Ghana iaitu organisasi pertahanan yang mantap.
Ketika kempen kelayakan, Ghana hanya melepaskan enam gol dalam 10 perlawanan, dan corak itu terus diterjemahkan pada kejohanan kali ini.
Aksi di antara kedua-dua pasukan dijangka tidak menghasilkan banyak gol berdasarkan pendekatan taktikal yang diamalkan kedua-dua jurulatih.
Ghana gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah gol dalam babak pertama dua perlawanan awal mereka, manakala Queiroz dijangka tidak akan terlalu menyerang memandangkan satu mata sudah memadai untuk menjamin sekurang-kurangnya tempat kedua kumpulan.
Croatia pula mencatat jumlah percubaan lebih rendah berbanding Panama dalam kemenangan mereka sebelum ini, namun sekurang-kurangnya berjaya menamatkan perlawanan tanpa dibolosi buat kali pertama dalam lapan perlawanan terakhir.
Kelebihan memihak kepada Croatia kerana mereka akan turun beraksi selepas keputusan sembilan daripada 12 kumpulan sudah diketahui.
Situasi itu membolehkan Dalic menilai dengan lebih jelas apa yang diperlukan untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati, sekali gus mungkin mempengaruhi pendekatan taktikal pasukannya dalam perlawanan penentuan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




