Myung-bo akui silap 'simpan' Heung-min di bangku simpanan

Myung-bo akui silap 'simpan' Heung-min di bangku simpanan

Monterrey: Keputusan merehatkan kapten pasukan, Son Heung-min mungkin menjadi kesilapan terbesar jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo pada kempen Piala Dunia kali ini.

Heung-min tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika Korea Selatan tewas 0-1 kepada Afrika Selatan awal pagi tadi, keputusan yang diakui sendiri oleh pengendali itu sebagai strategi yang gagal.

Kekalahan itu menyaksikan Korea Selatan terlepas peluang mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik dan kini terpaksa menunggu keputusan pasukan tangga ketiga daripada kumpulan lain bagi menentukan nasib mereka.

Afrika Selatan pula melonjak ke tangga kedua Kumpulan A sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.

Myung-bo menjelaskan keputusan menyimpan Heung-min di bangku simpanan dibuat berdasarkan perancangan taktikal yang dirangka sebelum perlawanan.

“Kami berpendapat Heung-min akan lebih berkesan apabila tenaga pihak lawan mula berkurangan, bukannya ketika mereka masih segar.

“Kami mahu menggunakan Heung-min apabila terdapat lebih banyak ruang di antara barisan pertahanan lawan dan ketika mereka mula lemah. Pada ketika itulah kami percaya dia mampu memberikan impak paling besar,” katanya.

Bagaimanapun, percaturan itu tidak menjadi apabila Heung-min yang dimasukkan sebagai pemain gantian hanya mampu melakukan satu percubaan sepanjang perlawanan.

Myung-bo mengakui beliau mungkin membuat keputusan berbeza sekiranya diberi peluang mengulangi perlawanan itu.

“Saya sudah memikirkan dengan mendalam mengenai persiapan dan pendekatan yang mahu digunakan dalam perlawanan ini.

“Sudah tentu, jika kami mengetahui keputusan akhirnya, mungkin saya akan membuat pilihan yang berbeza. Namun saya mempunyai strategi tersendiri ketika itu.

“Apabila keputusan buruk berlaku, semua orang akan mempunyai pandangan masing-masing. Tetapi keputusan itu adalah tanggungjawab ketua jurulatih. Akhirnya semuanya terletak di tangan saya,” katanya.

Kini Korea Selatan terpaksa menunggu dengan penuh debaran sehingga hujung minggu ini bagi mengetahui sama ada mereka masih berpeluang untuk mara ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, Afrika Selatan sudah boleh menarik nafas lega apabila mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik dan akan berdepan Kanada di Los Angeles.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top