HAVANA: Timbalan Menteri Luar Cuba, Carlos Fernandez de Cossio, mengisytiharkan negaranya kini berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk menghadapi sebarang pertempuran ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS).
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas langsung terhadap ancaman Presiden AS, Donald Trump untuk mengambil alih pulau Caribbean tersebut.
Trump meningkatkan retoriknya pada Isnin dengan menyatakan beliau menjangkakan akan mendapat ‘penghormatan’ untuk menguasai Cuba.
Ancaman ini hadir ketika sekatan minyak yang dikenakan Trump mengheret negara pimpinan komunis itu lebih dalam ke kancah krisis ekonomi, meskipun Havana dan Washington baru sahaja memulakan rundingan awal bulan ini.
“Negara kami secara sejarahnya sentiasa bersedia untuk digerakkan sebagai sebuah negara bangsa bagi menghadapi pencerobohan tentera.
“Kami tidak percaya ia sesuatu yang berkemungkinan besar akan berlaku, namun kami dianggap naif jika tidak bersiap sedia,” tegas De Cossio dalam program Meet the Press terbitan NBC pada Ahad.
Tambah beliau lagi, pihak Cuba tidak melihat sebarang kewajaran atau sebab untuk serangan itu berlaku.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mencadangkan pentadbiran Trump sedang berusaha untuk menyingkirkan Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel daripada tampuk kuasa.
Bagaimanapun, De Cossio menegaskan, sebarang cadangan mengenai struktur atau keanggotaan kerajaan Cuba bukanlah subjek rundingan dengan AS dan isu pertukaran rejim adalah mustahil untuk dibincangkan.
Sementara itu, jeneral tertinggi yang menyelia pasukan AS di Amerika Latin memberitahu penggubal undang-undang pada Khamis, tentera AS tidak melakukan sebarang latihan pencerobohan atau persiapan aktif untuk mengambil alih Cuba secara ketenteraan.
Kenyataan ini hadir ketika Cuba sedang berusaha memulihkan sistem tenaga nasionalnya selepas grid elektrik negara itu lumpuh sepenuhnya buat kali ketiga dalam bulan ini, menyebabkan jutaan penduduk bergelap.
Kerajaan Cuba menyalahkan infrastruktur yang usang serta sekatan tenaga oleh pihak AS sebagai punca krisis tenaga yang belum pernah terjadi sebelum ini. -AGENSI




