AKPS tahan 17 individu lakukan pelbagai kesalahan di BSI

AKPS tahan 17 individu lakukan pelbagai kesalahan di BSI

mhafis@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Seramai 17 individu termasuk tiga warga tempatan ditahan Unit Penguatkuasaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) atas pelbagai kesalahan imigresen, semalam.

AKPS berkata, daripada jumlah itu, 11 adalah warga Indonesia, dua warga Singapura, seorang warga Mesir, manakala tiga warga tempatan dipercayai bertindak sebagai pemandu.

Kesemuanya ditahan dalam tempoh 24 jam hasil pemeriksaan rapi terhadap individu yang dikesan memasuki kawasan BSI tanpa kebenaran serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menyita empat kenderaan mengikut Seksyen 49A Akta Imigresen 1959/63.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55E akta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AKPS turut memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti membawa atau melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati), dengan tindakan keras termasuk pelucuthakan kenderaan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersubahat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top