Rawang: Semangat kemerdekaan bukan hanya diterjemahkan melalui kibaran Jalur Gemilang semata-mata, sebaliknya turut dizahirkan melalui sikap bertanggungjawab dan berdisiplin ketika berada di jalan raya.
Pengerusi Pusat Transformasi Usahawan (ETC), Datuk Waheedah Faruz Telahah, berkata, penunggang motosikal perlu menunjukkan semangat cintakan negara melalui disiplin dan pematuhan undang-undang jalan raya,” katanya ketika melepaskan peserta konvoi bermotosikal dari Rawang ke Teluk Batik, Perak awal pagi tadi.
Program tiga hari bermula hari ini diadakan sempena sambutan Ambang Kemerdekaan ke-69 disemarakkan dengan penganjuran Konvoi Team Shell dari R&R Rawang menuju ke Teluk Batik, Perak, yang turut meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan Team Shell.
Konvoi membabitkan lebih 3,000 motosikal itu membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar aktiviti permotoran, khususnya dalam usaha menyatukan penglibatan golongan anak muda dalam aktiviti yang sihat.
Bersempena bulan Maulidur Rasul, Waheedah menyeru peserta supaya menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai contoh dalam kehidupan, khususnya melalui sifat jujur, amanah, saling menghormati dan menyayangi sesama saudara.
“Saya melihat aktiviti konvoi sebagai satu bentuk “dakwah bergerak”, dengan menunjukkan kepada masyarakat bahawa komuniti permotoran mampu menjadi kelompok yang beradab, berdisiplin dan membawa imej Islam yang baik.
“Kita mahu masyarakat melihat bahawa Islam itu indah dan umat Islam mampu menunjukkan akhlak yang baik walau di mana sahaja kita berada,” katanya.
Program diisi dengan ceramah agama oleh penceramah jemputan, soal jawab keagamaan dan solat berjemaah. Peserta juga diwajibkan membawa sejadah sendiri.Manakala, acara permotoran turut diadakan antaranya motor paling perlahan, paling bingit dan menolak motor bersama pasangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
