Banjir Nepal: Keluarga diberi taklimat esok – Mohamad Hasan

am@hmetro.com.my

Seremban: Keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan dalam insiden banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet, akan diberikan taklimat oleh Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi berkaitan, esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pertemuan itu akan membincangkan perkembangan terkini usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih dikategorikan belum dapat dikesan.

“Sekiranya keluarga berkenaan mahu ke Nepal, kami akan cuba menguruskan perjalanan mereka.

“Namun akses ke lokasi kejadian atau ground zero adalah sukar berikutan masalah perhubungan dan jambatan yang terputus,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Taman Kelab Tuanku, Mambau di sini, hari ini.

Beliau berkata, Wisma Putra kini mengaktifkan bilik gerakan 24 jam bagi memantau perkembangan bencana itu selain sentiasa berhubung dengan Kementerian Luar Nepal, MKN serta agensi berkaitan.

Beliau berkata, kuasa usaha Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut melaporkan perkembangan kepada beliau setiap hari, manakala Kedutaan Malaysia sudah menerima tambahan kakitangan bagi membantu menguruskan urusan rakyat Malaysia yang terjejas.

“Banyak juga sekarang ini mana yang dulu sudah dikategorikan hilang, tetapi dapat dihubungi.

“Pihak negara China kata ada beberapa orang di sebelah sana yang sudah dapat dihubungi, namun belum tentu lagi kita pastikan kewarganegaraan mana,” katanya.

Katanya, wakil pejabatnya dan pegawai bilik operasi turut akan hadir dalam pertemuan media bersama NGO di Kuala Lumpur esok bagi menjawab sebarang pertanyaan serta memberikan penerangan lanjut mengenai perkembangan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata Nepal tidak memerlukan penghantaran pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari negara lain berdasarkan pengalaman menguruskan pasukan SAR ketika gempa bumi di Kathmandu beberapa tahun lalu.

“Sebaliknya, Nepal meminta negara yang mahu membantu supaya menyalurkan sumbangan kewangan bagi menyokong usaha bantuan.

“Memang mereka memerlukan sumbangan kewangan, bahkan Bank Dunia pun sudah mengeluarkan kenyataan untuk membantu Nepal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top