am@hmetro.com.my
Kangar : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menahan seorang kerana disyaki cuba menyeludup 840 liter minyak petrol di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis, malam tadi.
Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, suspek warga tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan ditahan dalam operasi yang dijalankan bersama polis pada jam 8 malam.
Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksana sembilan pegawai penguat kuasa KPDN Perlis dan sembilan pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan operasi di jeti berkenaan menemui 28 tong ‘jerry can’ berisi cecair disyaki minyak petrol.
“Turut ditemui bersama suspek adalah motosikal jenis Honda Beat bernombor pendaftaran tempatan yang digunakan untuk mengangkut bekalan berkenaan ke lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDN Perlis, di sini, hari ini.
Rohaida berkata, operasi itu adalah hasil risikan dijalankan anggota penguat kuasa KPDN Perlis selama dua minggu sebelum serbuan dilakukan.
Katanya, semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,252 yang membabitkan 840 liter petrol (RM1,932), sebuah motosikal (RM2,000) serta 32 tong ‘jerry can’ (RM320).
“Susulan itu, satu tindakan kes sudah diambil dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis sekitar jam 10 pagi tadi, namun siasatan berhubung kes ini masih diteruskan,” katanya.
Mengulas lanjut, Rohaida berkata, pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam sindiket penyelewengan barang kawalan.
Katanya, selain Akta Kawalan Bekalan 1961, tindakan pendakwaan juga boleh diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).
Sehingga semalam, KPDN Perlis telah menyiasat sebanyak 18 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sepanjang tahun ini, membabitkan jumlah nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM322,587.
Beliau turut meminta orang ramai agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan ke Pejabat KPDN berhampiran bagi mengelakkan ketirisan subsidi kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




