Rita Rudaini galak anak bersukan, fokus kejayaan akademik

Rita Rudaini galak anak bersukan, fokus kejayaan akademik

puterialia@hmetro.com.my

Putrajaya : Pelakon, Rita Rudaini, menyokong minat anak-anaknya untuk menceburi bidang sukan dan meletakkan pendidikan sebagai syarat utama yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

Rita atau nama sebenar Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 50, berkata, kejayaan akademik menjadi fokus utama dan kedua-dua anaknya sangat memahami serta menghormati prinsip yang ditetapkannya itu.

“Saya tiada halangan, tetapi saya tekankan jika mahu menjadi ahli sukan, mereka perlu bijak dan cemerlang. Pelajaran mesti diutamakan,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, baru-baru ini.

Menurut Rita, anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, kini menunjukkan minat mendalam dalam bidang kejuruteraan dan mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Rayyan menyatakan minat dalam bidang kejuruteraan dan jika berpeluang mahu sambung pelajaran di luar negara. Saya sokong sepenuhnya dan berpesan supaya dia buat bersungguh-sungguh.

“Soal kewangan tidak perlu difikirkan, itu tanggungjawab saya. Apa yang penting, dia fokus terhadap pelajaran,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini turut menegaskan bahawa kesibukan mencari rezeki bukan alasan untuk dia mengabaikan keperluan emosi serta perhatian terhadap anak-anak.

“Bekerja itu penting, tetapi saya tetap atur masa. Saya tidak mahu terlalu fokus mencari rezeki hingga anak-anak terabai.

“Anak-anak juga perlukan perhatian. Di rumah, mereka gemar luang masa bersama, seperti keluar minum kopi. Ketika itulah kami berbual dan berkongsi cerita seperti rakan.

“Bagi saya, momen sebegitu sangat penting kerana saya bimbang jika terlalu kejar wang, jiwa anak-anak akan kosong,” katanya.

Mengulas mengenai tanggungjawab sebagai ibu tunggal, Rita mengakui ia bukan satu tugas yang mudah, namun bersyukur perkongsian pengalamannya di media sosial mendapat reaksi positif serta menjadi inspirasi kepada orang ramai.

“Ada kalanya saya risau apabila berkongsi, bimbang disalah anggap sebagai menunjuk. Namun, ramai meminta saya terus berkongsi kerana ia memberi semangat kepada mereka.

“Apa sahaja tanggapan orang, saya terima. Apa yang penting, saya mahu bantu menaikkan semangat ibu-ibu di luar sana, terutama yang berdepan cabaran membesarkan anak remaja masa kini,” kongsinya.

Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak pada 2008 sebelum bercerai pada 2013.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Rayyan dan Airit Qaqa Arjuna yang kini dibesarkan sepenuhnya oleh Rita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top