Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesan cubaan membawa masuk dua kucing diimport dari Ukraine menggunakan maklumat palsu.
Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alimin dalam kenyataan dikeluarkan hari ini memaklumkan kesalahan itu dikesan dalam pemeriksaan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Rabu lalu.
Beliau berkata, semakan yang dibuat mendapati mendapati nombor mikrocip yang terdapat pada badan kucing jenis British Shorthair itu tidak sama dengan dokumen permit import yang diisytiharkan.
“Perbuatan mengimport haiwan dengan mengisytiharkan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata, Maqis sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan Kawalan penyakit serta keselamatan Makanan di dalam negara.
ZA137 Malay News
National Desk



