am@hmetro.com.my
Butterworth: Cubaan menyeludup lebih 125 tan skrap tembaga bernilai hampir RM5.3 juta ke negara ini tumpas dalam pemeriksaan di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, pada 22 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang Datuk Rohaizad Ali berkata, sepasukan pegawai dan anggota memeriksa lima kontena yang mencurigakan selepas menerima maklumat awam.
Menurutnya, siasatan awal pada borang kastam yang diisi diikrarkan sebagai komponen elektronik terpakai.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kontena mengandungi skrap tembaga diimport dari Thailand dianggarkan berat lebih 125 tan dengan nilai anggaran hampir RM5.3 juta.
“Skrap tembaga diklasifikasikan sebagai barang larangan import dan tertakluk di bawah Item 5 Jadual Keempat Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan permit daripada SIRIM Berhad,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM negeri di Bagan Jermal, di sini, hari ini.
Katanya, tiga individu termasuk seorang wanita iaitu pemilik syarikat dan ejen berusia 40 hingga 60 ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Rohaizad berkata, pihaknya turut merampas 438,824 batang rokok dan lebih 1,377 liter (l) minuman keras pelbagai jenama dianggarkan berjumlah lebih RM500,000 termasuk cukai dalam di sebuah rumah di Padang Serai, Kedah pada awal bulan lalu.
“Kedua-dua kes itu kini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




