Cucuk tanam canggih

Cucuk tanam canggih

nurul_husna@hmetro.com.my

Pertanian antara sektor penting yang menjamin sekuriti makanan negara dan inovasi pertanian menjadi nadi kepada kepada industri terbabit.

Tidak kiralah inovasi pertanian itu dihasilkan kumpulan pelajar menengah, jika memberi manfaat kepada masyarakat ia wajar diketengahkan.

Seperti inovasi Advanced Automated Home Garden (AHOG) direka sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, Johor, apabila sistem pertanian boleh dijalankan di rumah menerusi kawalan automatik.

Menurut guru pembimbing kumpulan pelajar terbabit, Muhamad Syukri Sulaiman, inovasi dihasil lima pelajarnya itu memiliki potensi besar diketengahkan selain menyemai tabiat suka bertani dengan kaedah pertanian pintar.

“Projek ini sudah dimulakan sejak tahun lalu oleh lima pelajar tingkatan satu, Aina Adriana Mohd Hafiz (ketua pasukan), Syazrah Aisyah Ahmad Razali, Amir Irfan Jerei, Muhamad Zulfahmi Mohamad Hidayat dan Aisyah Dayani Nazman.

“Tahun ini projek terbabit ditambah baik dengan sistem kawalan automatik dengan penyelarasan sistem android.

“Pembabitan pelajar saya dalam projek ini memberi kelebihan apabila mereka pelajari sistem pengaturcaraan yang mana hanya dipelajari di peringkat universiti,” katanya.

Selain satu inovasi pertanian pintar, impak serta merta adalah apabila ia mempunyai nilai komersial dan mendapat permintaan pihak luar.

“Menyedari AHOG sudah ada pihak mahu membeli, saya turut mendaftarkan paten inovasi itu di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Ini proses penting apabila diketengahkan ke peringkat komersial atau diperkenalkan kepada umum.

“Inovasi walaupun dihasilkan pelajar, selagi sesuai dengan keperluan dan permintaan masyarakat, ia inovasi berimpak tinggi.

“Setidaknya rekaan ini memudahkan masyarakat kerana mereka boleh memantau tanaman mereka hanya dari telefon pintar,” katanya.

Impak inovasi pertanian pintar unik itu membolehkan pasukannya mengungguli tempat kedua terbaik dalam pertandingan ‘Young Entrepreneur Strive For Success’ (YESS) anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Pendidikan

Aina Adriana pula berkata, dia dan rakannya tidak menyangka pertanian satu bidang menarik untuk diteroka.

“Apabila kami memulakan projek inovasi pertanian tahun lalu, ada juga rasa sangsi adakah pertanian itu subjek berbaloi dijadikan kajian atau idea untuk pertandingan inovasi?

“Maklumlah gambaran kebanyakan orang pertanian ini satu bidang kurang popular dalam kalangan orang muda kerana beranggapan ia membosankan.

“Namun apabila ia dipadankan dengan penggunaan teknologi iaitu gajet dan aplikasi, pertanian boleh menjadi bidang yang seronok diteroka,” katanya.

Tambah Aina Adriana, kepuasannya apabila inovasi itu memberi kebaikan terutama mereka yang tinggal di bandar untuk menjalankan aktiviti pertanian.

“Meskipun objektif kami mudah iaitu membolehkan semua melakukan aktiviti pertanian tanpa perlu ruang dan tanah, kini kami turut menambahkan lagi penyelesaian kepada aktiviti itu.

“Bagi yang tidak ada masa untuk memantau atau menjaga tanaman boleh melakukannya walaupun berada jauh dari tanaman mereka,” katanya.

Sementara itu rakannya, Mohamad Zulfahmi berkata, meskipun perlu mengorbankan banyak tenaga dan masa untuk menyiapkan projek terbabit, semua itu berbaloi dengan pengetahuan diperoleh sepanjang menjayakan projek terbabit.

“Sesuatu yang baru saya pelajari ialah pengaturcaraan program. Dari kosong sehingga sistem itu berjaya beroperasi dari telefon pintar.

“Walaupun susah, saya rasa puas apabila sistem ini dapat berfungsi seperti kami rancang.

“Saya juga menyedari perkara yang kami pelajari dalam subjek rekabentuk dan teknologi, praktikalnya adalah dalam proses kami menyiapkan projek ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top