CUEPACS optimis ada berita gembira buat penjawat awam

CUEPACS optimis ada berita gembira buat penjawat awam

PORT DICKSON: Pertemuan di antara Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung tuntutan kenaikan gaji minimum RM1,800 dalam sektor kerajaan menghasilkan maklum balas positif.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat yang berkata, pihaknya optimis sesuatu yang positif mampu dicapai hasil pertemuan pada 1 Ogos lalu terutama berkenaan tuntutan menaikkan gaji bersamaan dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) secara khas kepada semua penjawat awam serta kenaikan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan.

“Beliau (Ketua Setiausaha Negara) telah memberikan pandangan positif tentang tuntutan CUEPACS dan berjanji membawa cadangan dan tuntutan yang diminta kepada pihak kerajaan. 

“Tuntutan itu biarlah kerajaan yang umumkan nanti dan kami optimis kerajaan mampu tunaikan. Kami yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan yang terbaik, insya-Allah ada berita gembira untuk penjawat awam nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sembilan dan Taklimat Isu Semasa CUEPACS, di sini hari ini. 

Adnan dalam pada itu menjelaskan, dalam pertemuan pihaknya dengan Perdana Menteri pada 13 Jun lalu, Ismail Sabri turut menyatakan komitmen bagi mengkaji tuntutan dan berjanji akan meluluskan tuntutan CUEPACS yang munasabah berdasarkan kedudukan kewangan negara. 

“Antara perkara yang ditekankan oleh CUEPACS adalah menaikkan gaji bersamaan dua KGT secara khas kepada semua penjawat awam serta kenaikan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan selain melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih komprehensif, adil serta saksama. 

“Perkara ini penting bagi meringankan beban penjawat awam terutama kumpulan pelaksana yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup. 

“Permintaan CUEPACS untuk menaikkan dua KGT tersebut juga adalah munasabah memandangkan tiada pembaharuan yang begitu ketara dilakukan oleh kerajaan untuk mengkajinya sejak pilihan raya umum yang lalu,” katanya, – UTUSAN