lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim menyarankan rakan dalam industri berkenaan supaya mematuhi garis panduan dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mengisytiharkan pendapatan masing-masing bagi mengelakkan masalah pada masa hadapan.
Pengendali saluran YouTube Durian Kimchi berusia 34 tahun itu berkata, beliau sedikit terkejut dengan pengumuman rasmi LHDN berhubung garis panduan kepada penggiat media sosial dan platform digital, namun menyifatkannya sebagai satu langkah ke arah ketelusan industri.
“Saya agak terkejut apabila lihat perancangan kerajaan ini, tetapi ia bukan untuk menghukum, sebaliknya memberi garis panduan bagaimana kita perlu bekerja secara betul.
“Sejak tahun lalu lagi sebenarnya sudah nampak usaha ke arah ini, termasuk pelesenan media dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ryzal yang mengendalikan saluran YouTube itu bersama isterinya, Maryam You Narae yang juga warga Korea Selatan berkata, beliau sendiri mula mengisytiharkan pendapatan sebaik pulang ke Malaysia pada 2020 dan sehingga kini sentiasa mendapatkan khidmat audit bagi memastikan segala urusan cukai dilaksanakan dengan betul.
“Isytihar dulu (pendapatan), bukan terus kena bayar.
“Kalau pendapatan tak cukup untuk dikenakan cukai, tak perlu bayar. Yang penting jangan lari. Itu tanggungjawab kita sebagai rakyat,” katanya.
Terdahulu, LHDN mengeluarkan garis panduan baharu yang mewajibkan pempengaruh media sosial mengisytiharkan semua pendapatan, termasuk barangan percuma, hadiah, baucar, dan perkhidmatan yang diterima untuk tujuan promosi.
LHDN dalam kenyataan berkata, pempengaruh diiktiraf sebagai kerjaya yang menjana pendapatan, menjadikan mereka subjek kepada pematuhan cukai di bawah garis panduan berkenaan.
Mengulas lanjut, Ryzal berkata, pelaksanaan itu mungkin tidak begitu dirasai oleh pempengaruh baharu atau berpendapatan rendah, namun memberi kesan kepada mereka yang sudah lama berkecimpung dan mempunyai saluran serta pengikut sendiri.
“Saya tiada masalah untuk mengisytiharkan pendapatan atau barangan diterima kerana sejak awal lagi saya memang buat.
“Setiap tawaran kerja akan direkodkan oleh pengurus dan diaudit setiap tahun.
“Cuma saya simpati kepada mereka yang banyak bergantung kepada barangan tajaan untuk membina nama dalam industri ini,” katanya.
Mengulas cabaran meletakkan nilai terhadap barangan, hadiah atau tajaan seperti percutian yang diterima pempengaruh, Ryzal berkata, pengisytiharan hanya perlu dibuat dari segi bentuk dan tempoh penerimaan, manakala penilaian nilai sebenar boleh ditentukan pihak LHDN.
“Kita hanya isytihar apa yang diterima.
“Soal nilai itu biarlah pihak LHDN tentukan berdasarkan pasaran semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Ryzal menegaskan pempengaruh wajar menjadi contoh kepada masyarakat dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai, selain tidak mengelak daripada pengisytiharan pendapatan.
“Pendapatan kita datang daripada sokongan penonton.
“Mereka juga rakyat biasa yang memerlukan bantuan kerajaan. Cukai yang dibayar akan kembali kepada rakyat
“Jadi kalau kita tak menyumbang semula melalui cukai, siapa lagi?,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pempengaruh dan selebriti supaya mendapatkan khidmat pengurus, akauntan atau juruaudit profesional bagi mengurus kewangan dan percukaian dengan lebih teratur.
“Ramai yang gagal kerana cuai atau malas menguruskan kewangan sendiri.
“Sedangkan kos audit setahun sekali tidaklah mahal berbanding risiko dikenakan tindakan seperti disenarai hitam atau pasport ditahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




