Cukai taksiran di Ipoh lebih rendah daripada dicadangkan

Cukai taksiran di Ipoh lebih rendah daripada dicadangkan

am@hmetro.com.my

Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh mengumumkan cukai taksiran antara 0.25 peratus hingga 2 peratus mengikut jenis bangunan, menerusi pewartaan Pengesahan Senarai Nilaian Baru, hari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pengesahan Senarai Nilaian Baru itu diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak pada 11 Disember 2024 lalu bagi semua pegangan berkadar di dalam kawasan pentadbiran MBI.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa siri sesi libat urus bersama penduduk dan pemilik harta, selain bersama wakil rakyat dalam kawasan pentadbiran MBI serta beberapa persatuan atau pertubuhan perniagaan dan perkilangan.

“Pengesahan Senarai Nilaian Baharu ini telah disiar dalam Warta Kerajaan Negeri Perak pada 26 Disember 2024 (hari ini),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“MBI juga mengadakan sesi libat urus bersama Persekutuan Pekilang Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Negeri Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPMM) Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Dewan Perniagaan India Perak (PICC), dan Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) Perak pada 18 Disember lalu.

“Menerusi sesi terbabit, satu resolusi dicapai iaitu penubuhan Jawatankuasa Timbang Tara terdiri daripada panel tiga orang Ahli Majlis MBI, wakil persatuan yang terbabit, Jabatan Penilaian dan Hartanah MBI, dan dipengerusikan oleh Ahli Majlis,” katanya.

Katanya lagi, MBI sudah mengadakan sesi Pendengaran Bantahan Fasa 1 pada 6 Disember 2024 yang membabitkan seramai 80 orang pemilik harta, dengan sesi Pendengaran Bantahan Fasa 2 akan diteruskan bermula 7 Januari 2025 hingga pertengahan bulan Mac 2025.

“Dapatan daripada sesi libat urus dan sesi Pendengaran Bantahan itu, akan dijadikan asas pertimbangan dalam penentuan cukai taksiran,” katanya.

Pada 15 November lalu, Rumaizi dalam kenyataan berkata, keputusan sama ada mengekalkan atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan MBI bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.

Kira-kira dua minggu kemudian MBI bersetuju untuk mengurangkan kadar baharu cukai taksiran iaitu lebih rendah berbanding cadangan sembilan peratus sebelum ini, selepas perkara berkenaan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top