am@hmetro.com.my
Bentong: “Cukuplah 10 kali saya keluar masuk penjara, kini saya insaf dan berjanji tidak akan ulangi kesilapan yang pernah dilakukan,” kata Hairul, 43, (bukan nama sebenar).
Menurut bekas juruteknik elektrik itu, dia dihukum penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan sebelum ini terbabit dengan pelbagai kesalahan hingga menyebabkan dia 10 kali keluar masuk penjara.
“Saya melakukan kesalahan masing-masing dua kali memiliki barang curi, menagih dadah dan menceroboh bangunan dengan niat mencuri. Empat kes membabitkan tindakan mencederakan individu.
“Masa saya banyak dihabiskan keluar masuk penjara, bermula di Penjara Penor (sekali) diikuti Penjara Bentong (dua kali) dan Penjara Sungai Udang, Melaka (tujuh kali),” katanya bapa tiga anak itu.
Beliau ditemui pada program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani ‘Kepulangan Yang Dinanti’ sempena Deepavali di Dewan Perdana Kompleks Penjara Bentong, di sini, kelmarin.
Program dirasmikan Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain.
Seramai 17 banduan Penjara Bentong dan Penjara Penor terpilih untuk program berkenaan. Mereka terdiri daripada tujuh banduan di Penjara Penor dan 10 banduan di Penjara Bentong.
Hairul berkata, peluang dibebaskan awal akan dijadikan semangat untuk dia membina kehidupan baharu selepas menjalani hukuman penjara selama setahun tiga bulan di Penjara Penor, Kuantan.
“Saya berjanji pada diri sendiri akan meninggalkan dadah yang menjadi punca utama sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapatkan duit.
“Aktiviti mencuri yang dilakukan hanya kerana bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah,” katanya yang berasal dari Jerantut.
© New Straits Times Press (M) Bhd

