Kerajaan teliti pemindahan kuota subsidi diesel kepada ahli keluarga – Amir Hamzah

Kerajaan teliti pemindahan kuota subsidi diesel kepada ahli keluarga – Amir Hamzah

Kerajaan dijangka mengumumkan beberapa langkah penambahbaikan berkaitan pelaksanaan subsidi diesel bersasar dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, termasuk dari aspek proses permohonan dan syarat kelayakan penerima, lapor Utusan Malaysia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penelitian turut dibuat terhadap beberapa situasi yang sebelum ini menimbulkan persoalan, antaranya kenderaan sambung bayar, pemilikan lebih daripada sebuah kenderaan serta kemungkinan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat dalam keadaan tertentu.

Kerajaan teliti pemindahan kuota subsidi diesel kepada ahli keluarga – Amir Hamzah

Menurut beliau, penambahbaikan berkenaan penting bagi memastikan mekanisme subsidi lebih mudah dan manfaat bantuan dapat diterima golongan yang benar-benar layak.

“Kita masih meneliti beberapa cadangan penambahbaikan. Dalam sebulan dua ini, kita akan buat pengumuman berhubung penambahbaikan itu terutamanya daripada segi proses dan kelayakan.
“Kami mahu mereka yang layak benar-benar mendapat manfaat daripada subsidi diesel ini,” katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama pemain industri di Tawau pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata, kira-kira 120,000 pemilik kenderaan pacuan empat roda termasuk pikap di Sabah, kini layak memohon kuota subsidi diesel sebanyak 300 liter susulan peluasan kategori penerima.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah pemohon setakat ini masih sekitar 49,000 orang.

“Fokus kita sekarang adalah memastikan mereka yang layak benar-benar tahu bahawa mereka boleh memohon dan mengambil manfaat daripada bantuan ini.
“Kita menggalakkan lebih ramai yang layak untuk memohon kerana Kementerian Kewangan sudah menyediakan kemudahan dan mekanisme bagi membolehkan permohonan dibuat,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil langkah membantu golongan yang kurang mahir menggunakan teknologi atau berdepan kesukaran membuat permohonan secara dalam talian dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan syarikat minyak.

“Pemohon boleh mendapatkan bantuan di cawangan LHDN dan UTC manakala syarikat minyak turut menyediakan bantuan di stesen minyak.
“Kita berharap daripada kira-kira 120,000 pemilik kenderaan yang layak di Sabah, kesemuanya dapat membuat permohonan supaya mereka dapat menikmati bantuan dan kuota yang sudah disediakan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (Nasrawati Syarifuddin)

Scroll to Top