Kalau sudah namanya selebriti media sosial, setiap gerak-geri memang akan diperhatikan. Silap sedikit, mulalah jadi bahan bualan netizen dari pagi sampai malam.
Terbaharu, Mas Khan menjadi sebutan apabila tindakannya mengadakan sesi siaran langsung di media sosial ketika sedang berendam di kolam renang mengundang pelbagai reaksi. Apa yang mencuri perhatian ramai bukanlah isi perbualannya, tetapi penampilannya yang hanya memakai seluar dalam ketika bersiaran secara langsung.
Aduhai, Cik Bunga pun garu kepala dibuatnya.Ramai netizen mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut memandangkan sesi siaran langsung itu boleh ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Ada beranggapan Mas Khan seolah-olah sengaja mahu menonjolkan bentuk badannya kepada pengikut.
Iyalah, kalau diperhatikan sejak kebelakangan ini, pelakon dan pempengaruh itu memang dilihat semakin aktif berkongsi rutin kecergasan serta aktiviti di gimnasium. Orang kata, mungkin selepas beberapa bulan berhempas-pulas mengangkat berat dan menjaga pemakanan, sudah mula nampak hasil yang diidamkan.
Sebab itu, ada yang berseloroh mengatakan Mas Khan teruja mahu mempamerkan perubahan fizikalnya kepada umum.
Namun begitu, tidak kurang juga yang berpendapat penampilan sedemikian kurang sesuai untuk dipertontonkan secara terbuka. Kata mereka, kalau sekadar ingin bersantai di kolam renang itu hak masing-masing, tetapi apabila melibatkan siaran langsung kepada ribuan pengikut, sedikit pertimbangan perlu diberikan.
Lebih menarik, ada juga yang tertanya-tanya sama ada tindakan itu dilakukan secara spontan ataupun sememangnya dirancang bagi menarik perhatian dan mencetuskan perbualan dalam kalangan netizen.
Maklumlah, dalam dunia media sosial hari ini, kontroversi kecil pun mampu menjadi modal untuk meningkatkan capaian dan jumlah tontonan.
Apa pun, sehingga kini Mas Khan belum memberikan sebarang penjelasan mengenai kritikan yang diterimanya. Sama ada dia sekadar tidak menyedari perkara tersebut atau memang tidak melihatnya sebagai satu isu, hanya tuan badan yang tahu.
Cuma bagi Cik Bunga, kalau benar mahu berkongsi perkembangan kecergasan dan bentuk badan yang semakin menjadi, banyak lagi cara yang lebih sesuai boleh dilakukan.
Tidak perlu rasanya bersiaran langsung hanya dengan berseluar dalam sehingga mengundang pelbagai persepsi.




