Cuma salah faham, bukan cubaan samun

Cuma salah faham, bukan cubaan samun

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi : Dakwaan cubaan samun seperti yang tular di media sosial berhubung satu insiden membabitkan dua kenderaan di daerah ini disahkan tidak benar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusuf Othman berkata, sebaliknya kejadian itu berpunca daripada salah faham antara pemandu mengenai pemanduan di jalan raya.

Katanya pihaknya mengesan satu video tular di Instagram berkaitan kejadian membabitkan sebuah kereta BMW 320i berwarna hitam dan sebuah Perodua Ativa berwarna kelabu di Jalan Bandar Tenggara.

“Kejadian itu dipercayai berlaku jam 8 malam, 14 November lalu.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur cubaan samun seperti yang didakwa dalam video tular berkenaan.

“Pemandu kenderaan BMW sudah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan cubaan samun, manakala pemandu Perodua Ativa pula setakat ini tidak membuat sebarang laporan polis,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Yusof berkata, pemandu kenderaan Perodua Ativa terbabit akan dipanggil bagi tujuan rakaman percakapan dan siasatan lanjut.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, dalam video tular berdurasi 2 minit 12 saat dari rakaman kamera papan pemuka kereta memaparkan sebuah kereta BMW hitam dilihat menekan brek beberapa kali dan berhenti di tepi jalan seketika, kemudian meneruskan kembali perjalanannya.

Situasi itu menyebabkan pemilik video yang dalam perjalanan pulang ke kampung di Kota Tinggi melalui jalan lama Kota Tinggi-Kluang yang gelap, merasa tidak selesa seolah-olah ia adalah cubaan samun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top