Polis siasat pergaduhan sekumpulan lelaki dengan dua individu di kedai makan

Polis siasat pergaduhan sekumpulan lelaki dengan dua individu di kedai makan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Polis akan menjalankan siasatan berhubung satu kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan lelaki yang menyerang dua individu di sebuah kedai makan dipercayai di Permas Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa, pada 9.12 malam tadi.

“Siasatan akan mula dijalankan, namun setakat ini tiada pihak lain membuat laporan polis termasuk pemilik kedai makan berkenaan mahu pun seorang lagi mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, video berdurasi seminit 29 saat tular di media sosial memaparkan beberapa orang awam sedang duduk makan di sebuah kedai makan termasuk dua mangsa sebelum kelihatan empat orang lelaki berpakaian gelap mula berlegar-legar di kawasan kedai makan itu.

Empat individu itu kemudian dilihat pergi ke arah meja yang diduduki dua lelaki berkenaan sebelum bercakap sesuatu sebelum seorang daripadanya mula memukul salah seorang mangsa.

Sebaik pukulan itu, secara tiba-tiba datang segerombolan lelaki berpakaian hitam dipercayai lebih 20 orang dari setiap sudut kedai makan dan turut menyerang kedua-dua mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top