Cunha berisiko didakwa FA selepas mengeluarkan kata-kata kesat

Cunha berisiko didakwa FA selepas mengeluarkan kata-kata kesat

London: Matheus Cunha berdepan kemungkinan dikenakan pertuduhan oleh Persatuan Bolasepak England (FA) susulan cara sambutan gol kemenangannya untuk Manchester United ketika menewaskan Arsenal.

Cunha meraikan rembatan hebat minit ke-87 itu dengan menghadap kamera tepi padang sambil dilihat menjerit kata-kata kesat.

Mengikut peraturan FA, seseorang pemain boleh dilayangkan kad merah sekiranya menggunakan bahasa yang bersifat menghina, kesat atau mencela.

Legenda United, Wayne Rooney sebelum ini pernah dikenakan penggantungan dua perlawanan oleh FA selepas menjerit kata kesat ke arah kamera sejurus menjaringkan gol yang meletakkan United di hadapan 3-2 ketika menentang West Ham pada April 2011.

Rooney kemudian didakwa FA atas penggunaan bahasa menghina, kesat dan atau mencela.

Bintang United itu terlepas aksi kemenangan 2-0 Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Fulham serta kekalahan separuh akhir Piala FA kepada Manchester City.

Susulan itu, Sir Alex Ferguson enggan bersalaman dengan Pengerusi FA ketika itu, Andy Bernstein selepas perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Wembley pada penghujung musim berkenaan.

Cunha, 26, yang masuk sebagai pemain gantian memberi impak besar di Stadium Emirates, lapan hari selepas mencipta bantuan jaringan untuk gol penentu Patrick Dorgu dalam pertembungan derby Manchester.

Ketua jurulatih United, Michael Carrick tidak ditanya mengenai sambutan gol Cunha, namun memuji tahap profesionalisme penyerang Brazil itu walaupun bermula di bangku simpanan untuk minggu kedua berturut-turut.

Carrick berkata: “Ia seolah-olah menggambarkan apa yang kami tunjukkan sebagai satu pasukan minggu ini.

“Matheus tidak bermula dalam kedua-dua perlawanan, tetapi dia memberi impak yang sangat besar dan sudah tentu kecewa kerana tidak diturunkan sebagai kesebelasan utama.

“Namun dia menyalurkan kekecewaan itu dengan cara yang sangat positif. Dua detik besar dan dia benar-benar layak menjaringkan gol kemenangan itu berdasarkan cara dia memberi komitmen sepanjang minggu. Saya sangat gembira untuknya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top