Curi buku dari perpustakaan, jual di Facebook, lelaki direman 5 hari

Curi buku dari perpustakaan, jual di Facebook, lelaki direman 5 hari

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang lelaki yang disyaki mencuri puluhan buah buku dari dua perpustakaan di bandar ini ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan pada jam 12.05 tengah malam di sebuah rumah di daerah ini.

Katanya, kejadian itu dikesan apabila laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 31 tahun yang bertugas sebagai penolong pegawai penerbitan pada jam 4.53 petang kelmarin berkaitan kes kecurian buku di sebuah perpustakaan agensi di Kota Bharu.

“Susulan itu, seorang lelaki tempatan ditahan bersama barang kes berkait kes curi buku milik perpustakaan dirampas.

“Hasil siasatan mendapati kejadian disedari pengadu apabila dimaklumkan oleh rakannya berkenaan penjualan buku di laman Facebook yang disyaki dicuri dari perpustakaan itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengadu membuat semakan dan mendapati beberapa buku hilang anggaran kerugian RM500.

Katanya, hasil semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku pada 11.54 pagi pada hari yang sama apabila terdapat seorang lelaki tidak dikenali datang ke perpustakaan dan mengambil beberapa buku dengan cara memasukkan ke dalam baju serta terus keluar dari premis.

“Lelaki itu ditahan dan beberapa barang kes termasuk 15 buku milik perpustakaan agensi itu dirampas.

“Sementara itu, terdapat laporan polis pada jam 10.23 pagi semalam, dibuat seorang wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pegawai operasi dan kebajikan berkenaan kes kecurian buku di perpustakaan swasta di daerah ini pada 4 Oktober lalu.

“Soal siasat awal mendapati lelaki itu mengaku turut terbabit dalam kes itu. Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, suspek direman selama lima hari bermula semalam sehingga 18 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top