Johor Bahru: Polis menahan seorang bekas pekerja kilang perabot, di Jalan Rumbia 69, Taman Daya, di sini, petang semalam, selepas dipercayai memecah peti simpanan dan mencuri wang majikannya di kilang terbabit di Taman Tan Sri Yaakob di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 petang, tidak sampai 24 jam selepas kejadian sebaik polis menerima laporan daripada mangsa yang merupakan pemilik kilang terbabit.
“Dalam laporannya, pemilik kilang merupakan seorang lelaki berumur 50 tahun itu mengadu menyedari kehilangan wang itu daripada peti simpanannya yang didapati sudah dipecahkan, pada 6.30 petang, Rabu.
“Didapati hanya duit syiling sahaja yang berada di dalam peti simpanan terbabit manakala wang kertas bercampur-campur yang dianggar sebanyak RM200,000 sudah hilang disyaki dicuri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, hasil siasatan terhadap suspek, dia mengaku mencuri wang sebanyak RM35,000 daripada peti simpanan berkenaan dan RM25,000 daripadanya digunakan untuk membayar hutang along manakala bakinya untuk berjudi.
Beliau berkata, polis turut merampas satu telefon bimbit dan wang tunai RM650 daripadanya.
Katanya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah dan bebas daripada pengaruh dadah itu, kini direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.




