Menghitung hari bergelar isteri, pelakon, Wanna Ali memaklumkan sudah melangsungkan pertunangan bersama jejaka pilihan hatinya, Khairil Amri Khalid pada 9 November tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Wanna atau nama sebenarnya, Nor Syazwana Mohd Ali, 28, bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh pernikahan yang dijangka bakal berlangsung dalam masa terdekat.
“Kami sebenarnya sudah mengadakan majlis pertunangan pada 9 November tahun lalu, namun hanya berkongsi berita, hari ini.
“Alhamdulillah, selepas berdoa di Makkah agar ditemukan dengan jodoh yang tepat, akhirnya saya dipertemukan dengan insan bernama Khairil Amri,” katanya.
Difahamkan, tunang Wanna Ali itu adalah anak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang sudah dikenalinya sejak setahun lalu.
“Dia mula menyedari kehadiran saya selepas rakan muat naik foto saya dalam media sosialnya. Ketika itu, dia meminta kawan untuk mengajak saya keluar makan. Saya beberapa kali menolak ajakan, namun akhirnya bersetuju.
“Selepas beberapa bulan berkenalan, kami menyedari kami mempunyai persamaan, iaitu sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
“Saya juga pernah memberitahunya, jika perkenalan ini hanya sekadar suka-suka, saya tak mahu membuang masa. Namun, Khairil menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan untuk berkahwin,” katanya.
Pada Ahad, Wanna berkongsi beberapa foto bibit pertunangan mereka yang mengenakan busana berwarna biru cair sedondon dengan bakal suaminya itu.
Sumber: Harian Metro