Nafi Terima Bayaran RM400,000, Jalaluddin Hassan Sedia Beri Kerjasama Dengan SPRM

Nafi Terima Bayaran RM400,000, Jalaluddin Hassan Sedia Beri Kerjasama Dengan SPRM

Pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan, 71, menafikan dakwaan menerima bayaran berjumlah RM400,000, sekali gus menjelaskan bahawa tugasnya hanya menjadi duta dalam kontrok termeterai selama satu tahun bersama syarikat perunding kewangan tersebut.

Jalaluddin menjelaskan pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dihubungi bagi membantu siasatan.

“Sudah tentu, tiada masalah (untuk beri kerjasama dengan pihak SPRM bagi membantu siasatan). Cuma, setakat ini belum ada sebarang panggilan lagi.

“Tugas saya hanya sebagai duta saja dengan syarikat perunding kewangan yang bertanggungjawab menjalankan tugas membuat promosi di media sosial.

“Alangkah bertuahnya jika saya dapat wang sebanyak itu. Saya tidak mahu cerita, apapun menafikan perkara itu.

“Malah, selama menjadi duta, saya ‘happy’ melakukannya kerana tidak pernah ada masalah. Tapi, saya terkejut dengan adanya isu ini,” katanya.

Sebelum ini, nama Jalaluddin turut dikaitkan sebagai salah seorang selebriti yang berkemungkinan dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.

Difahamkan, operasi ini merupakan inisiatif SPRM dalam membanteras kegiatan rasuah serta pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat perunding kewangan dan pegawai bank.

Terdahulu, Jalaluddin pernah dilantik sebagai duta bagi sebuah syarikat perunding kewangan, bersama dua lagi individu terkenal iaitu angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, dan penyanyi, Ziana Zain.

Artikel Berkaitan: “No Comment Sayang” – Nama Terkait Didakwa Bakal Dipanggil SPRM, Ziana Zain Enggan Ulas

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top