am@hmetro.com.my
Segamat: Satu hantaran tular di media sosial mendakwa Hospital Segamat akan menghentikan operasinya mulai 1 Julai ini susulan kekurangan kakitangan yang serius, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Dakwaan yang tersebar secara dalam talian itu menyebut Hospital Segamat yang menjadi hospital utama di daerah ini akan berhenti menerima rujukan daripada klinik bermula bulan ini sebelum ditutup sepenuhnya pada bulan depan.
Hantaran itu turut mendakwa tindakan itu berpunca daripada kekurangan doktor dan petugas kesihatan, selain menggambarkan keadaan itu sebagai bukti kegagalan yang lebih besar dalam sistem kesihatan awam negara.
Bagaimanapun, maklumat yang diperoleh New Straits Times menunjukkan situasi sebenar mungkin tidak seteruk digambarkan di media sosial.
Seorang doktor di Hospital Segamat yang enggan dikenali berkata, hospital itu tidak akan ditutup, sebaliknya sedang melaksanakan langkah bagi menguruskan jumlah pesakit dalam perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G).
Beliau berkata, klinik dan wad O&G hospital itu kini beroperasi hampir pada kapasiti optimum berikutan jumlah rujukan yang tinggi daripada hospital berhampiran di Pahang dan Negeri Sembilan.
“Ia bukan isu penutupan hospital. Apa yang sedang dibincangkan ialah rujukan bagi kes O&G tertentu dari hospital luar Johor yang kerap dihantar ke hospital ini.
“Kebimbangannya ialah jika jumlah pesakit terus meningkat sedangkan tenaga kerja dan kemudahan kekal terhad, ia boleh menimbulkan cabaran operasi serta menjejaskan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, pesakit dari Muadzam Shah, Pahang dan Tampin serta Gemas, di Negeri Sembilan mungkin akan dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan di hospital dalam negeri masing-masing.
Sebagai contoh, katanya, pesakit dari Muadzam Shah boleh dirujuk ke hospital di Kuantan, manakala kes dari Tampin dan Gemas boleh dihantar ke hospital di Seremban.
Doktor terbabit berkata, pendekatan itu selaras dengan amalan rujukan sedia ada di Johor, yang mana pesakit Hospital Segamat yang memerlukan rawatan lebih khusus dirujuk ke hospital lain termasuk Hospital Sultanah Aminah.
Sementara itu, NST menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Tian Soon berkata, beliau sedang menunggu laporan lengkap daripada pihak hospital sebelum mengulas lanjut mengenai perkara itu, manakala Dr Mohtar pula mengesahkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Kontroversi ini timbul ketika isu kekurangan tenaga kerja dan beban tugas di fasiliti kesihatan awam terus mendapat perhatian pada peringkat nasional, khususnya dalam perkhidmatan pakar yang berdepan peningkatan permintaan pesakit.
Sehingga penjelasan rasmi dikeluarkan, pihak berkuasa kesihatan menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan mengelak penyebaran maklumat yang belum disahkan kerana boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesakit serta keluarga mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




