Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) terus memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti menerusi penganjuran Forum Biodiversiti 2026 yang memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan keseimbangan antara pembangunan industri sawit dan kelestarian alam sekitar.
Forum dwitahunan bertemakan “Coexistence in Malaysian Oil Palm Plantation Landscapes” itu menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemain industri, penyelidik, ahli akademik, penggubal dasar, pelajar dan pengamal kelestarian dari dalam serta luar negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program seperti itu membuktikan komitmen berterusan MPOGCF dan agensi berkaitan dalam memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti dalam landskap industri sawit negara.
“Program seperti ini jelas membuktikan komitmen berterusan daripada pihak yayasan dan agensi berkaitan untuk memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti dalam landskap industri sawit negara,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi merangkap Pengerusi MPOGCF, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof sekali gus merasmikan Forum Biodiversiti 2026 di The Everly, Putrajaya pada Rabu.

Noraini berkata, Malaysia sebagai antara negara mega biodiversiti dunia perlu memastikan pembangunan dilaksanakan secara mampan dengan mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan usaha pemuliharaan alam sekitar.
Menurutnya, MPOGCF dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memainkan peranan penting melalui pelaksanaan kajian, program serta perancangan menyeluruh berkaitan pemuliharaan biodiversiti dalam landskap sawit.
“Dalam hal ini, MPOGCF dan MPOB masing-masing memainkan peranan penting melalui kajian-kajian bersama rakan strategik, pelaksanaan program, serta perancangan menyeluruh pemuliharaan biodiversiti dalam landskap sawit,” ujarnya.
Beliau berkata, tema forum tahun ini amat relevan dalam mendepani cabaran semasa, khususnya melibatkan interaksi antara manusia dan hidupan liar di kawasan perladangan.
Katanya, pendekatan kewujudan bersama atau coexistence perlu dilihat sebagai satu anjakan paradigma daripada pengurusan konflik kepada perkongsian ruang yang lebih harmoni.
“Tema ini bukan sekadar satu laungan slogan, sebaliknya menterjemahkan satu anjakan paradigma yang kritikal bagi industri kita..
“..iaitu peralihan daripada naratif ‘pengurusan konflik’ kepada pendekatan ‘perkongsian ruang yang harmoni’ antara kemajuan pertanian dan kelestarian alam,” katanya.
Beliau berkata, cabaran konflik manusia dan hidupan liar ketika ini bukan berpunca daripada pembukaan kawasan perladangan baharu, sebaliknya disebabkan pertindihan landskap sedia ada yang melibatkan kawasan penempatan manusia dan habitat semula jadi.

Justeru jelasnya, penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama menyeluruh semua pihak menerusi pendekatan Whole of Nation.
Dalam pada itu, Noraini berkata, projek yang dilaksanakan MPOGCF menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pembangunan industri sawit mampan melalui integrasi pemuliharaan biodiversiti dan operasi ladang.
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah projek Human–Elephant Coexistence di Sungai Ara, Johor hasil kerjasama MPOGCF, Earthworm Foundation dan MPOB yang memberi tumpuan kepada pengurusan konflik manusia-gajah berasaskan komuniti.
“Ia merangkumi pembangunan ‘Best Management Practices’ (BMP), mekanisme mitigasi seperti pagar elektrik, sistem amaran awal, pemantauan dron, di samping pengukuhan sistem rondaan komuniti,” ujarnya.
Beliau berkata, komuniti pekebun kecil di Sungai Ara kini menjadi model rujukan dalam usaha mitigasi konflik manusia dan hidupan liar di kawasan lain.
Selain itu, MPOGCF turut melaksanakan Projek Pemulihan Habitat Orang Utan di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama, Lahad Datu menerusi kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah.
“Ia memfokuskan kepada pemuliharaan hutan terdegradasi melalui penanaman semula spesies pokok hutan asli dan buah-buahan tempatan,” jelasnya.
Noraini berkata, projek berkenaan turut melibatkan pembentukan koridor hidupan liar khususnya untuk orang utan selain menyediakan kawasan refugia bagi menyokong pemulihan ekosistem secara menyeluruh.
Katanya, projek-projek berkenaan hanyalah sebahagian daripada 25 inisiatif yang sedang dilaksanakan MPOGCF di seluruh negara.
“Secara keseluruhannya, inisiatif-inisiatif ini memberikan impak langsung ke atas pemuliharaan biodiversiti, memperkukuh daya tahan ekologi, serta memastikan kesinambungan sumber semula jadi negara kekal terpelihara,” tambahnya lagi.
Forum Biodiversiti 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama MPOB berlangsung selama dua hari dengan menampilkan lebih 30 pembentang dan penyertaan lebih 50 syarikat serta organisasi.

Antara fokus utama forum ialah Human-Wildlife Coexistence, Challenges and Limitations in Implementing Coexistence, Connecting Landscapes and Sustaining Wildlife serta Managing Biodiversity Sustainably within Oil Palm Landscapes.




