Dakwaan kemelut dalaman, Hannah Yeoh akan jumpa skuad terjun negara

Dakwaan kemelut dalaman, Hannah Yeoh akan jumpa skuad terjun negara

KUANTAN – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan bertemu dengan skuad terjun negara dalam masa terdekat bagi mendengar sendiri dakwaan kemelut dalaman yang menjejaskan keputusan mereka di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.

Ia susulan pendedahan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg kepada media semalam yang mengakui terdapat ‘entiti’ mengganggu skuad terjun negara sehingga mengakibatkan kegagalan mereka menempah tiket ke Olimpik di Paris kelak.

“Saya akan jumpa mereka (penerjun) dan akan mendengar daripada mereka tapi seperti yang saya beritahu sebelum ini, kita sekarang dalam proses untuk melakukan pembaharuan untuk ekosistem sukan kita,” katanya.

Hannah Yeoh

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Siap Kerja Trek Sintetik Stadium Darul Makmur, di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Sementara itu, Hannah menafikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan harapan menjulang emas kepada atlet program Road To Gold (RTG) tertentu selepas kegagalan skuad terjun negara baru-baru ini.

Katanya, dua kriteria telah ditetapkan KBS untuk tersenarai dalam program tersebut iaitu atlet yang pernah memenangi pingat di Sukan Olimpik dan berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

“Tapi ada juga mereka yang bukan top 10, saya tidak katakan yang bukan top 10 tidak boleh menang. Tidak, dalam sukan, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Sesiapa yang bertanding ada kemungkinan dia boleh kalah dan kemungkinan dia boleh menang,” jelasnya lagi.

Semalam, media melaporkan, Pandelela, 30, yang terlepas tiket ke Paris dalam acara 10 meter (m) platform individu dan 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri mendedahkan ada kemelut dalaman yang berlaku dalam kem terjun negara sekali gus menjadi punca terhadap prestasi hambar penerjun negara di Doha. – MalaysiaGazette