Dakwaan Malaysia berat sebelah konflik Thailand-Kemboja hanya persepsi kecil – PM

Dakwaan Malaysia berat sebelah konflik Thailand-Kemboja hanya persepsi kecil – PM

Putrajaya: Malaysia tidak terkesan dengan sebarang kritikan ketika memainkan peranan sebagai mediator dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, pihak yang meragui usaha berkenaan tidak mengetahui fakta sebenar berhubung usaha yang dilaksana berhubung perkara terbabit.

Jelasnya, dakwaan bahawa Malaysia bersikap berat sebelah dalam konflik Thailand-Kemboja juga hanyalah persepsi kecil.

“Saya memantau perkara itu dengan sangat teliti. Mereka tidak mengetahui banyak fakta atau maklumat dan saya secara konsisten mengambil pendekatan yang sangat berhati-hati dan berwaspada dengan membincangkannya bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin (Charnvirakul) dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

“Panglima Angkatan Tentera kita juga sudah menghubungi kedua-dua pihak, begitu juga dengan menteri luar kita,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Anwar berkata, peranan Malaysia adalah untuk membantu memudah cara gencatan senjata serta memastikan permusuhan antara Thailand dan Kemboja dihentikan.

“Keputusan itu sepenuhnya terpulang kepada pihak Thailand dan Kemboja. Kami tidak membuat keputusan. Kritikan (terhadap Malaysia) itu berasaskan kejahilan dan prasangka semata-mata.

“Sebarang keputusan, termasuk mesyuarat sempadan yang diselaraskan oleh menteri-menteri luar, adalah selaras dengan Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan dibuat dengan penyertaan serta persetujuan penuh kedua-dua negara,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia mengalu-alukan gencatan senjata yang dicapai antara Kemboja dan Thailand susulan rundingan yang diadakan di China.

“Peralihan pantas kepada perbincangan susulan yang tersusun mencerminkan keazaman untuk mengelakkan konflik berulang dan menstabilkan keadaan,” katanya.

Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap peranan China, khususnya usaha Menteri Luar China, Wang Yi dalam menganjurkan perbincangan yang membolehkan Thailand dan Kemboja bertemu.

“Kedua-dua pihak dapat menumpukan kepada langkah praktikal untuk mengurangkan risiko dan membina semula kepercayaan. Saya juga ingin mengiktiraf peranan penting Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang membantu memeterai Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan menjadi asas kepada menghentikan konfrontasi.

“Ia menyumbang kepada pembentukan ruang politik yang membolehkan pihak berkenaan berundur daripada konfrontasi dan beriltizam untuk menahan diri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top